Lafaz niat puasa Ramadan sebulan atau harian

Info terkini telah dikemaskini pada tarikh 19 Disember 2018 jam 11:48 AM

Ketibaan Ramadan adalah saat yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Fadilat Ramadan banyak diketahui melalui firman ALLAH SWT dan hadis Rasulullah SAW membuatkan tidak sabar mencari rahmat dan berkatNya.

Apabila tiba 1 Ramadan, kebanyakan umat Islam begitu bersemangat untuk menyambutnya dengan memulakan dengan baik sama ada ibadah yang wajib seperti berpuasa dan sunat seperti menyegerakan berbuka, melambatkan sahur serta berqiamullai.

Sebagai umat Islam, perlu direnung fadilat berpuasa dan mengerjakan ibadat tarawih di malam hari. Puasa adalah satu tanda ketaatan kita kepada ALLAH. Puasa juga mengajar kita supaya beramanah terhadap diri sendiri, mendidik jiwa, hati dan juga segala pancaindera.

Justeru, apabila kita menghayati segala tujuan amalan puasa dan ibadat di malamnya, kita dapat merasai kemanisan iman dalam melaksanakannya dengan sepenuh hati dan minda agar keikhlasan itu dirasai dalam diri sebagai satu tanda ketaatan dan kepatuhan yang tidak berbelah bagi.

Selain itu, Ramadhan mendidik manusia menjadi insan bertakwa dan membentuk nilai integriti dalam diri. Ibadah dilakukan Ramadan tidak mengenal darjat dan kedudukan. Justeru, manfaat peluang sepanjang Ramadan.

Tempoh berpuasa bermula pada waktu Subuh hingga Maghrib menuntut manusia meninggalkan makan dan minum serta perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa dan membatalkan pahala puasa.

Puasa mampu membentuk integriti manusia kerana sistem yang diatur oleh Allah SWT sepanjang menjalani ibadah itu, sehingga menimbulkan kesedaran supaya tidak mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal. Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.

Kita perlu menghayati maksud sebenar di sebalik niat yang disematkan di dalam hati sepanjang menjalani ibadah puasa. Janganlah kita jadikan ia sekadar terjemahan kepada lafaz, tetapi kita perlu jadikannya sebagai fokus utama iaitu meningkatkan ketakwaan diri kepada Allah.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim tidak mengisi Ramadan dengan amal ibadat dan tidak mengecapi fadilat yang disediakan Allah SWT bagi orang yang mengharapkan keredaanNya.

Marhaban Ya Ramadan..semoga tahun ini, ramai yang memahami akan keberkatan dan kewujudanmu.

LAFAZ NIAT PUASA RAMADHAN SEBULAN (SEPENUHNYA)
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala
Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
LAFAZ NIAT PUASA BULAN RAMADAN (HARIAN)
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘e, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala
Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
BACAAN DOA BERBUKA PUASA
اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين
Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa‘alaa rizqika afthartu birahmatika yaa arhamarroohimiin
Ya Allah, bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman, dengan rezeki Engkau aku berbuka, dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang