Tarikh hari raya Aidiladha haji korban 2019 1440H di Malaysia

Info terkini telah dikemaskini pada tarikh 13 Februari 2019 jam 05:25 AM

Tanggal 10 Zulhijah merupakan hari yang cukup bermakna bagi umat Islam di seluruh dunia kerana sekali lagi berpeluang meraikan sambutan Aidiladha atau Hari Raya Korban.

Aidiladha antara hari kebesaran Islam yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya setelah berjaya menunaikan perjuangan ibadah yang cukup besar yakni ibadah haji.

Hari Raya Korban adalah hari perayaan yang membawa bersama mesej dan pengajaran penting yang berkait rapat dengan kesatuan umat. Walaupun umat Islam di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, budaya dan negara, namun mereka ialah umat yang satu dan menyembah Tuhan yang satu yakni Allah SWT.

Sambutan Aidiladha juga adalah hari bagi seluruh umat Islam mengagungkan asma Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar Islam dengan melaksanakan ibadah korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Selain itu, ibadah korban juga dapat melatih umat Islam agar dapat mengikis sifat tamak dan bakhil dalam mengeluarkan harta serta melahirkan sifat murah hati untuk membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan fakir dan miskin.

Semangat berkorban ini harus disuburkan dalam diri kita dan seluruh anggota masyarakat, yakni semangat untuk memberi dan bukan menerima yang seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita. Semangat tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah inilah yang sewajarnya diterapkan dan menjadi sifat utama orang yang bertakwa yang sentiasa berinfaq baik dalam keadaan lapang mahupun sempit.

Aidiladha masa yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Hikmah ibadah haji adalah cukup indah, yakni proses pentarbiahan kita tentang solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian, kesucian, kebersihan, serta kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui pengagihan sembelihan korban.

Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah serta mengeratkan hubungan sesama manusia yang secara jelas memperlihatkan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.

Oleh itu, ibadah korban adalah bentuk pengorbanan yang bertitik-tolak daripada kesedaran tentang nilai-nilai luhur terutamanya dalam hal-hal yang berkait rapat dengan perjuangan menghindari sifat ego dalam diri sendiri. Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah.

Sebagai makluman, tarikh Hari Raya Aidiladha tahun 2019 di Malaysia akan diumumkan melalui pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang akan diumumkan pada malam selepas mencerap anak bulan Zulhijah.

Pengumuman ringkas tarikh 1 Zulhijjah 1440H serta tarikh Hari Raya Aidiladha tahun ini bagi Malaysia akan disiarkan di TV1.

TARIKH-TARIKH PENTING DALAM ISLAM TAHUN 2019 / 1440-1441H MALAYSIA
Tarikh Hijri (1440)Tarikh Miladi (2019)Hari Perayaan / Kebesaran Islam
27 Rejab3 AprilIsrak dan Mikraj
1 Ramadan*6 MeiAwal Ramadhan / Berpuasa
17 Ramadan22 MeiNuzul Al-Quran
1 Syawal*5 JunHari Raya Puasa / Aidilfitri
1 Zulhijjah2 OgosAwal Zulhijjah
10 Zulhijjah*11 OgosHari Raya Korban / Aidiladha
1 Muharam 14411 SeptemberAwal Muharam / Maal Hijrah
12 Rabiulawal 14419 NovemberMaulidur Rasul
Tarikh bertanda (*) akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.